





![]() | Today | 99 |
![]() | Yesterday | 187 |
![]() | This week | 286 |
![]() | Last week | 1518 |
![]() | This month | 3271 |
![]() | Last month | 6275 |
![]() | All | 44622 |
| Asuhan Sultan Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al- Jilani r.a. |
|
|
|
| Nurul Iman - Syeikh Mahmud | |||
| Written by Administrator | |||
| Friday, 26 June 2009 16:34 | |||
|
Setelah genap 3 tahun 8 bulan Syeikh Abdul Qadir Jawa mengasuh Syeikh Mahmud dengan Gerak Makrifat, beliau pun menyerahkan Syeikh Mahmud kepada Sultan Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani untuk diasuh di dalam perjalanan ahlullah yang tidak bercampur aduk dengan khadam.
Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah datang menemui Syeikh Mahmud pada kali pertama di Pondok Batu Lima semasa beliau berada dalam keadaan pengsan kerana diserang penyakit athma akibat makan buah langsat. Pada pertemuan pertama itu Syeikh Mahmud tidak mahu menerima bimbingan daripada Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, dengan berkata: ”Aku nak Allah bukannya nakkan awak”.
Tetapi selepas beliau mendengar suara ketuhanan yang berkata: ”Mahmud ikutlah orang ini sekiranya kamu hendak sampai kepada Aku”. Barulah beliau mahu menerima bimbingan daripada Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.
Pada pertemuan beliau dengan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani kali kedua, Sultan Auliya’ ini telah berkata; ”Mahmud kamu tinggalkan cara perkembangan Islam di Jawa (yakni amalan Gerak Makrifat) dan ambillah cara perkembangan di India yang dipelopori Maulana Ilyas”. Kemudian Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah mengarahkan beliau memeluk Maulana Ilyas, pengasas Jemaah Tabligh. Maulana Ilyas adalah murid Sultan Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani di abad 14 Hijrah. Beliau juga merupakan Ghaus dan Mujaddid kurun ke 14 H.
Tidak berapa lama selepas peristiwa itu, satu kumpulan Jemaah Tabligh telah datang ke Kedah yang dipimpin oleh Maulana Lutfur Rahman. Maulana Lutfur Rahman adalah warga Bangladesh dan merupakan salah seorang ahlullah yang menerima asuhan daripada Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah mengarah Syeikh Mahmud pergi ke masjid yang jemaah itu berada. Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani juga telah memesan supaya beliau masuk ke dalam masjid menggunakan pintu yang tertentu dan jangan memberi salam kepada Maulana Lutfur Rahman, tetapi hanya menunggu ucapan salam daripada Maulana ini. Pada pertemuan ini, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah mengarah Maulana Lutfur Rahman untuk berbai ’ah dengan Syeikh Mahmud.
Pada tahun 1975 Masehi juga Sultan Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah menasihat beliau dengan berkata: ”Mahmud! Selagimana awak berasa hendak berjumpa Lailatul Qadar selama itulah kamu tidak akan berjumpa Lailatul Qadar. Pada tahun itu jugalah Syeikh Mahmud mula berjumpa Lailatul Qadar selepas dinasihat oleh Sultan Auliya’ dan semenjak tarikh itu beliau telah dianugerahkan oleh Allah bertemu Lailatul Qadar pada setiap tahun.
Pada satu masa Syeikh Mahmud berasa hendak pergi menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani di Baghdad, lalu Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pun berkata kepada beliau: ”Kamu nak tengok Baghdad bolehlah Mahmud!” Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani berkata begitu kerana hendak menyedarkan kesilapan Syeikh Mahmud yang hendak pergi ke makamnya sedangkan beliau sering datang bertemu Syeikh Mahmud di alam kerohanian kerana memberi pengajaran dan asuhan. Syeikh Mahmud terus beristighfar selepas di tegur Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani di atas kecuaian beliau itu.
Pada tahun 1996 Masehi Syeikh Mahmud telah pergi Baghdad dan berkesempatan menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Semasa menzirahi makam, beliau telah merasai sama seperti yang dikatakan oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pada tahun 70an dahulu kerana beliau mendapati kerohanian Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani tiada di makamnya yang ada hanyalah jasadnya sahaja.
Semasa Syeikh Mahmud mengalami lelah yang teruk (athma), Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah menyuruh beliau mengingati Allah dalam setiap nafas. Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani tidak mahu Syeikh Mahmud membiarkan nafas yang keluar masuk itu kosong daripada kalimah Allah. Pada peringkat awal Syeikh Mahmud selalu diserang penyakit athma, boleh dikatakan hampir setiap hari dan malam beliau dalam keadaan penat ataupun athma. Penyakit athma beliau semakin berkurangan pada awal tahun 90an.
Syeikh Mahmud juga telah diberitahu oleh Sultan Auliya’ ini: ”Jarang Mahmud orang yang mendapat 3 helai jubah.” Pada tahun 1986 Masehi Sultan Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani telah memberi arahan kepada Syeikh Mahmud supaya pergi menutup tiga satelit jin yang besar di Asia Tenggara iaitu Pulau Besar di Melaka, Tasik Hijau di Jawa Barat Indonesia dan Pulau Phuket di Thailand.
Sekitar tahun 2002 Masehi seorang keturunan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani yang bernama Syeikh Muhammad Hydra Ahmed Ibrahim Al-Jilani dari Gambia telah datang mengunjungi Syeikh Mahmud. Tidak beberapa lama selepas beliau kembali ke Gambia, beliau telah mengalami satu pengalaman kerohanian.
Syeikh Muhammad Hydra telah menyuruh salah seorang pengikutnya menghantar emel kepada Syeikh Mahmud untuk memberitahu pengalaman kerohaniannya itu.
katakanlah; Ya Muhammad! Wahai Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau menganugerahkan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghilangkan kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau memuliakan siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan siapa yang Engkau kehendaki. Ditangan Engkaulah segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas tiap sesuatu (Surah Ali - Imran ayat 26)
Terjemahan e-mail
Terjemahan ke Bahasa Melayu:
Assalamualaikum saudara Abdul Raouf, Baharum, A/Rahman and saudari Hawa dan keluarga kamu yang tersayang. Syeikh Muhammed Hydara kirim salam kepada Syeikh Mahmud Al-Kedahi dan keluarganya, juga kepada awak dan sahabat-sahabat di Madrasah Nurul Iman.
Saudara Abdul Raouf, Syeikh Muhammed meminta saya agar menyampaikan kepada awak tentang pengalaman rohani (Rui’ya), yang syukur Alhamdulillah beliau saksikan pagi ini yang mana Masya Allah melibatkan Syeikh Mahmud dan murid-muridnya. Tolong sampaikan berita gembira ini kepadanya. Saya akan cuba sampaikan seberapa baik yang saya ingat.
Pengalaman tersebut adalah seperti berikut: Syeikh Muhammad Hydra sedang mengikuti majlis zikir di “zawiyah” dimana ia dipimpin oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani (Qaddasallahu Sirrahu). Di tangan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani terdapat kalung emas. Kemudian beliau memanggil Syeikh Muhammed agar datang kepadanya. Beliau meletakkan tangannya yang satu lagi di atas bahu Syeikh Muhammed dan berjalan membawa Syeikh Muhammed ke suatu majlis lain. Syeikh Muhammed Hydara sedar ketika itu beliau sedang memakai serban putih di kepalanya. Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani dan Syeikh Muhammed kemudiannya masuk ke dalam satu bilik dimana Syeikh Mahmud Al-Kedahi sedang duduk di atas kerusi dan sedang memakai jubah hijau. Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani menghampiri Syeikh Mahmud dan meletakkan kalung emas di leher Syeikh Mahmud. Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani berjalan dengan gembira dan berkata kepada mereka yang hadir “Kami akan tetap bersama kamu” dan kemudiannya beliau ghaib. Syeikh Mahmud Al-Kedahi berasa gembira dengan lawatan ini dan mempelawa dan meminta dirinya dan murid-muridnya agar membacakan surah Al-Ikhlas sebanyak 313 kali sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w., Saidina Khidir a.s., Saidina Abdul Qadir Al-Jilani r.a. dan seluruh keturunan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani (Radhiallahu Anhum Ajma’in, Amin!) Kemudian Syeikh Mahmud Al-Kedahi dan murid-muridnya mula membaca surah-surah tersebut. Kemudian Syeikh Muhammed Hydara menyedari bahawa serban beliau menjadi hijau selepas itu. Pengalaman rohani ini pun berakhir.
****************************************************** Syeikh Muhammad mengarahkan agar memberitahu saudara-saudara di Malaysia tentang pengalaman rohaninya pagi ini. Insya Allah ini adalah berita gembira kami. Kami mengucapkan tahniah kepada Syeikh Mahmud Al-Kedahi dan semua murid-murid beliau.
Fi Amanillah. Burae
Note: Syeikh Muhammad sekarang sedang dalam perjalanan ke Senegal dan Insya Allah sedang bersiap sedia untuk pergi ke Mekah / Madinah pada bulan Ramadhan ini Insya Allah.
|
|||
| Last Updated on Thursday, 20 August 2009 16:42 |

Penyatuan orang mukmin dengan air mata (menangis kerana mengenangkan keagungan Tuhan). Penyatuan orang yang tak mukmin dengan gelak ketawa.

|
|